Budin seorang yang amat benci pada kucing, ntah apa silap yang telah dibuat oleh kucing padanya tiada siapa yang tahu. Walaupun
begitu, jodoh pertemuan sememangnya ketentuan Ilahi, Budin bertemu
jodoh dengan Gayah yang sememangnya amat suka dan cinta pada kucing.
Bukan itu sahaja, sebelum berkahwin dengan Budin, Gayah sudah ada
membela seekor kucing siam.
Maka dari hari ke hari, bertambah
benci dan meluatlah Budin pada kucing bernama Tompok, kucing siam
peliharaan isterinya. Apa tidaknya, Gayah lebih memberi tumpuan kepada
si Tompok dalam kehidupan sehari - hariannya. Hal ini membuatkan Budin
beranggapan, Gayah lebih sayang si Tompok berbanding dengan dirinya. Akibat
tidak mahu terus tertekan dengan keadaan ini, Budin membuat rancangan
untuk mengusir si Tompok dari hidupnya dan hidup isterinya, Gayah. Maka,
bermulalah dengan rancangan jahat Budin.
Pucuk dicita ulam yang
mendatang, ketika isterinya sedang asyik mandi , Budin dengan tanpa
segan silunya telah menangkap si Tompok, disumbat dalam karung beras cap Rambutan. Tanpa berlengah terus merempit motor kapcainya sehingga jauh
dari rumahnya , lebih kurang 5 KM lalu dihumbanlah si Tompok tanpa
belas kasihan. Dengan hati gembira, baliklah dia ke rumah dengan siulan
mengikut rentah lagu "Cindai" nyanyian Siti Nurhaliza. Tapi,
kegembiraan hanyalah sementara bila tiba di rumah si Tompok dengan
sombong bongkaknya melanggok depan pintu lagaknya menyambut kepulangan
Budin. Sakitnya hati Budin tak dapat digambarkan.
Besoknya, Budin
meneruskan rancangan jahatnya. Kali ini lebih jauh dibawa si Tompok, 7 KM dari rumahnya. Tetapi seperti semalam Tompok berjaya mendahuluinya
pulang ke rumah. Budin tidak putus asa begitu sahaja, alang-alang peluk
pekasam, biar habis basah sampai ke pangkal lenggan. Maka
nekadlah Budin, kali ini dia bukan sahaja hendak buang Tompok lagi jauh
tapi dibawanya Tompok pusing-pusing dahulu. Habis semual jalan ditempuh,
sekejap ke kiri, sekejap ke kanan, yang lurus, yang bengkok, segala selekoh habis dirempitnya dan akhirnya si Tompok dibuang
begitu sahaja. Selang berapa minit kemudian, Budin call Gayah.
Budin: Ayang, Tompok ada kat dalam rumah tak, tanya Budin dengan penuh suspen lagi berdebar-debar...
Gayah: Ada, ada dekat depan pintu tu ha, Kenapa? tanya Gayah
Budin: Panggil Tompok! herdik Budin dengan nada yang tinggi...
Gayah: Kenapa? tanya Gayah lagi.
Budin: Aku nak tanya Tompok, Macam mana nak balik ke rumah. Aku sesat ni!!!